PERINGATAN MENGENAI MATA WANG PALSU DAN PENIPUAN KEWANGAN
Siaran Akhbar Bersama - Peringatan Mengenai Mata Wang Palsu dan Penipuan Kewangan
1. Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Cyber Security Brunei (CSB) baru-baru ini telah mendapati penularan sebuah rakaman video yang kononnya berita tempatan berhubung dengan mata wang Brunei Darussalam.
2. Dalam hal ini, BDCB ingin mengingatkan orang ramai bahawa, menurut seksyen 13, Perintah Mata Wang, 2004 (Currency Order 2004), mengeluarkan mata wang atau duit syiling Negara Brunei Darussalam, atau apa-apa dokumen atau tanda, yang menyerupai seperti mata wang yang sah diperlakukan, adalah satu kesalahan. Mana-mana individu yang didapati melanggar seksyen ini akan disabit kesalahan dan boleh dikenakan denda, dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun, atau kedua-dua sekali.
3. Memiliki mata wang palsu, mengetahui atau mempunyai alasan dipercayai mengetahui memiliki mata wang palsu, dan mempunyai niat untuk menggunakan mata wang palsu sebagai mata wang tulen juga merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Hukuman Jenayah (Bab 22). Jika disabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda dan dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun.
4. BDCB dan CSB juga ingin mengingatkan orang ramai agar berwaspada sebelum melibatkan diri dalam sebarang skim atau transaksi kewangan terutamanya jika ia ditawarkan di platform media sosial. Orang ramai disarankan untuk menyemak kesahihan sebarang tawaran yang kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, serta memahami risiko-risiko yang berkaitan sebelum melakukan transaksi kewangan. Orang ramai juga perlu berhati-hati sebelum memberikan maklumat peribadi dan seterusnya, mengelak daripada menjawab soalan atau permintaan tanpa mengesahkan identiti entiti yang meminta maklumat tersebut. Jika entiti tersebut adalah dari luar negara, orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dengan pihak berkuasa negara berkenaan untuk memastikan ia dikawal selia.
5. Sehubungan dengan ini, orang ramai disarankan untuk hanya berurusan dengan entiti yang dikawal selia oleh BDCB. Mana-mana individu yang memilih untuk berurusan dengan entiti tidak berlesen dan tidak dikawal selia yang menawarkan perkhidmatan atau produk kewangan, mereka tidak akan terlindung di bawah rangka kerja kawal selia yang ditadbir oleh BDCB yang bertujuan untuk melindungi kepentingan pengguna kewangan dengan memastikan hanya entiti yang layak boleh menyediakan perkhidmatan kewangan.
6. Sila rujuk laman web BDCB untuk senarai institusi-institusi kewangan yang dikawal selia oleh BDCB , serta BDCB Alert List bagi entiti-entiti yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah kawalan BDCB, atau mana-mana aktiviti yang menimbulkan kecurigaan akan berlaku aktiviti yang menyalahi undang-undang.
7. Sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan boleh dilaporkan kepada Isu Pengguna Kewangan, BDCB di talian 2380007/8380007 atau emel fci@bdcb.gov.bn. Manakala aktiviti-aktiviti lain yang mencurigakan yang didapati di platform media sosial perlulah dilaporkan kepada platform tersebut (seperti Facebook), dan kepada CSB melalui Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) di talian 2458001, emel reporting@brucert.org.bn atau WhatsApp 7170766.
8. Orang ramai yang mendapati mata wang palsu atau telah menjadi mangsa penipuan kewangan diingatkan supaya membuat laporan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei dengan segera.
9. BDCB akan terus mementingkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan mengutamakan perlindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di negara ini. BDCB juga akan terus memantau sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di Negara Brunei Darussalam.
Rujukan:
- Financial Institutions Directory - https://www.bdcb.gov.bn/Pages/financial-institutions-directory.aspx
- Alert List - https://www.bdcb.gov.bn/consumer/bdcb-alert-list